Khamis, 16 Februari 2012

TAK KENAL MAKA TAK CINTA

Assalamualaikum....

Berjumpa lagi kita bersama titipan tinta bahasa. Anak-anak kita mungkin sudah dilahirkan dalam keluarga yang sudah mengetahui bagaimana harus berbahasa melayu walaupun ada perbedaan antara keluarga tersebut sama ada yang benar-benar menguasai, menguasai, hampir menguasai, hampir tidak menguasai, mahupun langsung tidak menguasainya. Apapun latar belakangnya, apa yang pasti anak-anak ini membesar dan belajar untuk menguasai demi keperluan akademik mahupun sosial mereka. 

Namun berapa pula bilangan mereka ini yang berpeluang dan diberi peluang untuk benar-benar mengetahui, memahami dan menghayati apa itu Bahasa Melayu sebenarnya ?. Adakah kita masih mempunyai masa untuk mengkhabarkan semua ini selengkapnya kepada mereka? Mungkin....hampir pasti TIDAK. Ini adalah kerana mereka bergelut dengan keterbatasan masa yang memerlukan mereka melakukan 1001 perkara dalam lingkungan masa yang tidak boleh diubah.

Memahami Bahasa Melayu secara lebih tuntas adalah dengan kita perlu tahun beberapa fasa yang terkandung dalam peradaban bahasa itu sendiri. Antaranya fasa awal bagaimana bahasa itu terhasil, berkembang dan sebagainya. Namun, hari ini dengan adanya ledakan kemajuan dunia maya , semua ini bukanlah merupakan penghalang bagi mereka untuk terus melupakan sejarah kelahiran bahasa kita ini. Sebagai contohnya, klik sahaja http://mcp.anu.edu.au/papers/darwis, mereka mungkin akan berjaya menemui pelbagai maklumat penting tentang bahasa kita. Benarlah kata orang-orang dulu, Tak Kenal Maka Tak Cinta. Jika kita benar-benar mengenali susur galur bahasa kita, nescaya kita akan mempunyai semangat setidak-tidaknya untuk mempertahankan kehebatan bahasa ini daripada dimakan kepantasan masa yang acapkali memakan kesempurnaan bahasa kesayangan kita seperti bahasa sms, pasar, dan sebagainya. Apatah lagi,jika ada antara mereka yang mempunyai semangat bernyala untuk memperjuangkan bahasa kita sehingga menjadi bahasa yang amat dihormati di seluruh pelusuk dunia. Bukan mustahil, jua bukannya mudah. Namun, tanpa langkah pertama tidak mungkin akan ada langkah-langkah seterusnya.

Menyentuh dasar kerajaan untuk memperkenalkan MBMMBI di peringkat sekolah, ternyata langkah ini amat bertepatan dengan dunia hari ini serta kepentingan untuk Bahasa Melayu yang sudah kita gazetkan sebagai bahasa kebangsaan sedari merdeka lagi. Tindakan ini juga membuktikan kita tidak menafikan kepentingan Bahasa Inggeris dalam arus global, cuma Bahasa Melayu yang ada pada kita perlulah kita martabatkan di samping memperkasakan Bahasa Inggeris. Perkataan Martabat itu sendiri membawa erti membawa ke tahap yang tinggi, bukan sekadar mempertahankan apa yang dicapai hari ini. Justeru, syabas kepada kerajaan yang menyedari akan hal ini.

yang kurik itu kendi
yang merah itu saga
yang molek itu budi
yang indah itu bahasa

Justeru, sebagai pemimpin kecil di sekolah, guru-guru Bahasa Malaysia adalah merupakan golongan yang terlibat secara langsung untuk merancang dan melaksanakan apa-apa langkah bagi memartabatkan bahasa kita ini. Di samping itu, peranan guru-guru subjek lain juga adalah dituntut agar tiada lagi dialog-dialog seperti  you dulu, cuba try, mahupun dialek masing-masing terlalu kuat sehingga menjadi ikutan murid-murid. 

Dalam konteks ini, Panitia Bahasa Malaysia Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1 telah berganding bahu bersama Panitia Bahasa Inggeris dalam merancang serta melaksanakan MBMMBI di peringkat sekolah. Sebuah jawatan kuasa MBMMBI telah ditubuhkan bagi tujuan tersebut. Untuk memastikan ianya berjalan secara efektif, penglibatan beberapa ahli panitia Sains dan Matematik juga turut dilibatkan. Segala istilah yang digunakan dalam subjek tersebut akan kita kupaskan untuk pemahaman murid dalam erti kata Bahasa Melayu yang sebenarnya agar mereka menjadi murid yang benar-benar faham dan bukannya menghafal perkataan demi perkataan. Semoga usaha yang dijalankan ini akan membuahkan hasil yang diharap-harapkan. 

Sekian,

Musafir  Kelana

Tiada ulasan:

Catat Ulasan